Tiada masalah ajar Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris di luar bandar, kata menteri Sarawak - KLC English Language Centre
Tiada masalah ajar Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris di luar bandar, kata menteri Sarawak

Tiada masalah ajar Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris di luar bandar, kata menteri Sarawak

Kira-kira 90% penduduk kampung di Sarawak boleh memahami dan bertutur bahasa Inggeris

KUCHING: Menteri Pendidikan, Penyelidikan Sains dan Teknologi Sarawak, Michael Manyin berkata pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di kawasan luar bandar negeri itu tidak patut dijadikan isu.

Dahulu, katanya, hanya beberapa orang di kawasan luar bandar boleh memahami dan bertutur bahasa Inggeris, tetapi bahasa itu masih digunakan pelajar sekolah rendah.

“Hasilnya adalah baik dan ramai daripada mereka menjadi individu berjaya.

“Hari ini, kira-kira 90% penduduk kampung di Sarawak boleh memahami dan bertutur bahasa Inggeris, jadi apa masalahnya?” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau percaya mereka yang enggan bercakap bahasa Inggeris kerana bimbang membuat kesilapan.

“Fobia sebenarnya datang daripada kami,” katanya sambil menambah beliau mendapat respons positif setakat ini mengenai pelaksanaan program itu di Sarawak.

“Kira-kira 90% menyambut baik langkah itu. Ada yang kata mereka sudah lama menunggunya. Ia baik untuk Sarawak. Ia baik untuk masa depan anak-anak kita.”

Beliau percaya kebanyakan ibu bapa akan menyokong langkah itu kerana ia akan membolehkan generasi muda lebih berdaya saing di pasaran global.

“Generasi muda hari ini sukar bekerja di sektor swasta kerana kebanyakan syarikat menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi, jadi mereka sangat bergantung kepada kerja kerajaan.”

Manyin berkata, tidak akan wujud masalah kekurangan guru kerana individu berkelayakan daripada institut pendidikan guru, Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Malaysia Sarawak and Universiti Teknologi Mara sudah dikenal pasti.

“Universiti Curtin dan Swinburne datang sebelum ini dan berkata mereka sedia membantu kami. Mereka ada guru (berkelayakan).”

Sumber berita : Free Malaysia Today

Jun 03, 2019

Penyemak imbas anda tidak menyokong


Penyemak imbas anda tidak boleh menunjukkan kandungan laman web kami. Sila kemas kini, atau pilih penyemak imbas yang lain untuk digunakan.
Muat turun Chrome or Edge